KRISIS SELANGOR: PKR TERUS ‘BERDRAMA’

 

PKR terus bermain teka teki apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu menunggu kepulangan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi menentukan kedudukan tiga Exco PAS.

Buat masa ini tiga Exco PAS berkenaan bertugas seperti biasa dan nasib mereka hanya akan ditentukan dalam satu mesyuarat Biro Politik PKR sekembalinya Wan Azizah ke tanah air.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau tidak pernah memecat ketiga-tiga wakil PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor dan sehingga kini tiada keputusan dibuat ke atas mereka.

Sebelum ini PKR yang bermesyurat dipengerusikan Wan Azizah menyerahkan kepada Azmin untuk membuat keputusan sekembalinya beliau dari luar negara.

“Bila dia dipecat? Tak ada kan. Kita akan bincangkan hal ini sebelum memutuskan nasib tiga Exco ini (PAS).

“Saya akan berbincang dengan pemimpin-pemimpin parti saya dalam PKR. Kita sibuk nak membangunkan negara, jadi kita mengadakan hubungan dengan negara lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Jumaat.

Isnin lalu, Wan Azizah berkata, Biro Politik PKR memutuskan agar kesemua lantikan wakil mereka dalam Kerajaan Negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan serta-merta.

Bagaimanapun nasib tiga Exco PAS di Selangor, akan diputuskan dalam mesyuarat sama sebaik sahaja Azmin pulang dari luar negara.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, beliau mengambil serius pandangan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu pintu rundingan terus dibuka kepada PAS.

“Sebaik saja saya tiba di KLIA, saya terima mesej daripada (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) di mana beliau meminta saya memastikan pintu (rundingan) terbuka untuk perbincangan lanjut dengan Pas.

“Pastinya pandangan ini akan diberikan perhatian serius dalam perbincangan (biro politik),” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.