LAGI AHLI KELUARGA AZMIN DALAM RADAR SPRM

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat bakal menahan seorang lagi ahli keluarga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kes rasuah.

Sumber SPRM dilaporkan sebagai berkata, penahanan itu bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah berikutan individu tersebut dikatakan menjadi orang tengah ketika berurusan dengan kontraktor-kontraktor untuk mendapatkan pelbagai projek daripada kerajaan negeri.

Hasil siasatan badan itu, individu berkenaan hidup mewah walaupun hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi meneliti kesahihan dakwaan terhadap individu tersebut dan sejauh manakah penglibatannya dalam projek-projek kerajaan negeri sejak 2014,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Khamis lalu, empat individu termasuk anak saudara kepada Menteri Besar direman tujuh hari kerana dipercayai terlibat melindungi kegiatan lombong pasir dan batu haram di Selangor.

Suspek yang dikenali sebagai ‘Aboy’ menjadi orang tengah bagi berurusan dengan agensi penguat kuasa dan kerajaan negeri supaya kegiatan haram itu tidak diganggu.

Selain itu, suspek berusia 37 tahun tersebut juga dikatakan memiliki kenderaan mewah dan sentiasa bercuti di luar negara hasil wang sogokan yang diperoleh daripada syarikat-syarikat yang mahu mendapatkan projek daripada kerajaan negeri.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.