LAPORAN POLIS : DAKWAAN ETNIK ROHINGYA DIBERI KAD PENGENALAN 

 

Dakwaan pihak tertentu bahawa etnik Rohingya yang dibawa masuk ke negara ini diberikan kad pengenalan untuk mengundi Barisan Nasional (BN) merupakan satu lagi fitnah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Baru Pandamaran, David Foo Teck Li berkata,  dakwaan tersebut turut tular di laman sosial kononnya lebih 1,000 etnik Rohingya diberi kad pengenalan untuk mengundi Barisan Nasional (BN) di kawasan Klang.

“Pada 15 April lalu, semasa berada di Pejabat MCA Daerah Klang, saya menerima klip video melalui WhatsApp yang menunjukkan gambar dan suara lelaki cina bertutur dalam bahasa Mandarin menyatakan ada beribu-ribu etnik Rohingya dibawa masuk untuk mengundi BN.

“Kita juga mendapati berita palsu di WhatsApp, Wechat dan Facebook yang jelas berniat jahat.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dan cepat percaya dengan berita palsu sebegini,” katanya ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan mengenai isu terbabit dan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita yang tidak dipastikan kesahihannya. Pihak polis akan terus memantau  sebarang unsur yang mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.