LARANGAN BERTUDUNG : KURANG AJAR – NAZRI

 

Tindakan pengusaha hotel melarang pekerja wanita bertudung adalah perbuatan kurang ajar dan tidak bertanggungjawab.

Tegas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata larangan itu adalah menjadi satu kesalahan yang dilakukan pengusaha hotel.

“Pengusaha hotel jika benar mengeluarkan arahan berkenaan yang bukan sahaja tidak menghormati umat Islam, malah telah melanggar perlembagaan negara ini.

“Kalau benar SOP mereka macam tu, bila datang negara orang hormatlah undang-undang kita. Ini satu diskriminasi dan dalam perlembagaan kita tidak boleh diskriminasi atas apa-apa alasan, agama, bangsa dan lain-lain,” tegasnya.

Jelas Nazri lagi, arahan hotel bertaraf antarabangsa melarang pekerja wanita muslim memakai tudung adalah bertentangan dengan dasar hak asasi manusia yang selalu dilaungkan mereka.

“Saya tidak fikir syarikat antarabangsa yang mengamalkan hak asasi manusia, termaktub dalam perlembagaan syarikat mereka melarang memakai tudung.

“Syarikat besar ini sememangnya syarikat yang kuat menekan quality dan human right. Saya tidak fikir mereka kenakan syarat sedemikian dan saya tidak percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017, di Bangunan Parlimen, pada Selasa.

Justeru itu, Nazri membidas kepada mana-mana individu warganegara Malaysia yang sengaja mewujudkan larangan tersebut di hotel-hotel dalam negara ini.

“Jadi, pada saya kalau sesiapa yang nak pertahankan sebagai SOP, dia memang kurang ajar.

“Adakah kalau telanjang dan bogel lebih baik dari bertudung. Kalau rakyat Malaysia nak pertahankan, dia memang kurang ajar,” selar Ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi.

Bagaimanapun menurut Nazri kementeriannya belum mendapat sebarang aduan mengenai perkara tersebut.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.