LELAKI ‘SANGKUT’ ATAS POKOK KELAPA

 

Seorang lelaki tidak dapat turun dari pokok setinggi 10 meter akibat mengalami kekejangan tangan dan kaki kiri ketika sedang memetik kelapa di Kampung Tersusun, GOPENG pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Sabtu, mangsa berusia 57 tahun dipercayai sudah memanjat pokok dan membawa turun sebahagian buah sebelum naik semula pokok itu untuk mengambil baki buah yang tinggal.

Difahamkan, ketika memanjat untuk kali kedua dan sudah sampai di atas pokok berkenaan, tangan dan kaki kiri mangsa mengalami kekejangan dan penduduk kampung terpaksa memanggil bomba untuk bantuan.

 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, C. Ganesan berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 11.11 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, anggota mendapati seorang lelaki mengalami kekejangan di atas pokok kelapa sebelum usaha membawa turun mangsa dijalankan menggunakan tangga dan tali.

“Mangsa berjaya diturunkan dan diserahkan kepada ambulans dan dibawa ke Hospital Kampar untuk rawatan.Operasi tamat jam 12 tengah hari,” katanya.

 

Sumber BH ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.