LHDN : PEMUDA UMNO KEDAH MINTA MAHATHIR BERTENANG

 

Pergerakan Pemuda UMNO Kedah meminta Tun Dr Mahathir Mohamad  bersikap tenang dan berlapang dada berhubung siasatan Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN) terhadap anaknya.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata siasatan LHDN terhadap syarikat anak bekas Perdana Menteri itu sebagai prosedur biasa.

“Pemuda UMNO Kedah yakin dan percaya pihak berkuasa sedang menjalankan tugas mereka dengan telus dan penuh profesional tanpa mengambil kira sentimen tertentu,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Shaiful Hazizy,  pihaknya juga menggesa agar Mahathir tidak melatah dan melompat apabila pihak LHDN menjalankan tugas mereka.

“Pemuda UMNO Kedah ingin memperingatkan Mahathir pentadbiran dan operasi agensi atau pun badan kerajaan bukannya seperti dahulu iaitu zaman beliau menjadi Perdana Menteri yang mentadbir secara kuku besi  tetapi kali ini semua agensi dan badan kerajaan telah menjadi proses transformasi untuk lebih profesional dan telus.

“Oleh yang demikian tidak timbul soal LHDN dan agensi kerajaan menjadi boneka kepada mana-mana pihak,” katanya lagi.

Pemuda UMNO Kedah yakin dan percaya anak-anak Mahathir tidak lagi berada didalam ‘sangkar emas’ ataupun dilindungi oleh tangan-tangan yang tertentu.

“Pemuda UMNO Kedah memohon agar pihak berkuasa terus menjalankan tugasan mereka tanpa sebarang ketakutan dan tekanan. Hakikatnya kekayaan luar biasa anak-anak Tun M ini perlu dibongkar kerana mereka sudah lama dilindungi oleh kuasa-kuasa tertentu,” katanya.

Pemuda UMNO Kedah juga mahu pihak berkuasa dengan serta merta membuka kertas siasatan khas bagi menyiasat sekiranya wujud salah laku korporat syarikat-syarikat milikan anak-anak Mahathir.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.