LIWAT : MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN ANWAR

 

Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan sabitan hukuman liwat dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan serta Persekutuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu hari ini yang membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman terbabit.

Dalam penghakimannya, Nik Hasmat berkata  dakwaan Anwar bahawa terdapat penipuan dan keterangan palsu ketika perbicaraan kes liwatnya, adalah satu anggapan yang salah kerana beliau pernah dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada tuduhan terbabit.

“Saya tidak nampak siapa saksi pendakwaan yang berbohong. Kamu perlu buktikan dakwaan dengan terperinci. Kamu tidak boleh melemparkan dakwaan penipuan begitu saja di mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM5,000 kepada kerajaan.

Dalam pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa keputusan itu diperoleh secara penipuan, iaitu melalui keterangan palsu bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut mendakwa disebabkan penipuan itu, penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah tidak sah.

Sementara itu, N Surendran yang mewakili Anwar memberitahu mahkamah, pihaknya akan mengemukakan rayuan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.