‘MADU’ GAMATKAN DEWAN MERDEKA

 

UMNO harus keluar daripada kepompong Melayu untuk menjaga ‘madunya’ iaitu GERAKAN dan MCA bagi merampas kembali Pulau Pinang.

Perwakilan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Said, menyifatkan MCA dan GERAKAN yang mewakili masyarakat Cina sebagai sahabat terbaik dalam lingkaran parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua parti yang ketika ini berada dalam keadaan duka lara perlu dibantu daripada pelbagai aspek bagi membantu misi menumbangkan pemerintahan DAP di Pulau Pinang.

“Kita tidak boleh biar MCA dan GERAKAN semakin jauh, sebaliknya mereka perlu dibantu untuk bangkit menentang DAP serta merampas kembali Pulau Pinang.

“MCA, GERAKAN dan UMNO ini sebenarnya umpama sepasang kasut, satu hilang maka sebelah lagi tak berguna lagi. Walaupun tak melangkah seiring, tapi menuju ke destinasi yang sama.

“Sejarah membuktikan, MCA dan GERAKAN adalah rakan setia kita. Mereka madu terhebat kerana pada saat ini susah nak cari madu asli dan terbaik.

“Kalau tak percaya, pi (pergi) tanya Datuk Seri Reezal Merican (Naina Merican) sama ada susah atau senang nak cari madu baik,” katanya mencuit hati lautan perwakilan merah yang membanjiri Dewan Merdeka di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Keletah Mohd Zaidi yang mengenakan persalinan baju Melayu merah itu ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden turut mengundang celahan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

“FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) juai madu hat tak ada kaki. Madu asli, semut tak mai punya,” kata Badruddin dalam nada berseloroh ketika menjawab soalan Mohd Zaidi mengenai kriteria ‘madu’ terbaik.

Menyambung perbahasan, Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata, perubahan sewajarnya perlu dirintis parti keramat Melayu itu, selaras usianya menjengah 71 tahun.

Katanya, gerak kerja parti perlu keluar daripada batas yang memagari kepentingan orang Melayu supaya dilihat lebih menyeluruh dan memangkin kejayaan rakan komponen BN.

“UMNO baharu ini kena ubah corak politik menerusi gerak kerja menangani bahan negatif yang disebarkan di media sosial kerana ia ‘membunuh’ kita.

“Jangan biarkan persepsi dan tuduhan liar ini menjadi viral tanpa dikekang sebelum akhirnya memakan kita daripada dalam menjelang PRU-14,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.