MAHATHIR NEGARAWAN ‘KAKI FITNAH’ – RIZAL

 

Kredibiliti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai negarawan semakin pudar apabila beliau dilihat lebih gemar membuat tuduhan melulu dan fitnah demi mencapai matlamat politiknya.

Pembantu khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor, berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sepatutnya ‘tabayyun’ terlebih dulu dengan memeriksa fakta sebelum membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, sebagai seorang negarawan Mahathir tidak sepatutnya membuat tuduhan hanya berdasarkan khabar angin.

“Bagaimana seorang negarawan boleh mendengar dan percaya kepada khabar angin sebegini?

“Tuduhan ini bersifat jahat kerana Mahathir cuba memesongkan pandangan rakyat bahawa isteri Perdana Menteri itu sedang melakukan pembaziran kerana menaiki pesawat peribadi yang disewa oleh kerajaan.

“Sebenarnya kerajaan tidak menyewa pesawat tersebut khusus untuk Rosmah.

“Pesawat udara ACJ319 dengan nombor pendaftaran A6-CJE itu ialah pesawat gantian yang disewa kerajaan Malaysia bagi kegunaan orang kenamaan negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong dan kenamaan lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak itu mengulas kecaman Mahathir kononnya kerajaan membelanjakan wang sebanyak RM86 juta terhadap lawatan Rosmah ke luar negara.

Dalam kenyataan itu Rizal turut menjelaskan bahawa kiraan kos sewaan sebanyak itu untuk pesawat yang disewa pada 2016 tidak benar sebaliknya sekadar anggaran dibuat Rafizi Ramli.

Kiraan berkenaan tidak masuk akal kerana Naib Presiden PKR itu mengambil kiraan kos penerbangan sebanyak RM60,000 sejam yang didarabkan sebanyal 24 jam untuk tempoh 60 hari.

“Sudah tentu pesawat tersebut tidak terbang 24 jam setiap hari selama dua bulan,” katanya.

Jelas Rizal, isteri perdana menteri menaiki pesawat udara terbabit ke Istanbul, Turki untuk menerima penghargaan 3G Children Welfare Award bagi pihak PERMATA Negara.

“Rosmah bertolak ke Istanbul pada jam 12 tengahari pada 25 Mei 2016 dan tiba di Istanbul pada jam 8 malam (waktu tempatan) hari yang sama.

“Keesokan harinya, Rosmah menghadiri majlis penyampaian anugerah dan terus bertolak balik pada jam 11 malam untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang akan dirasmikan Raja Permaisuri Agong di Langkawi.

“Disebabkan jadual yang padat itu, tidak mungkin untuk isteri Najib itu menggunakan pesawat komersial dalam perjalanan berkenaan,” katanya lagi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.