MAHATHIR PATUT BERKHIDMAT DI KLINIK 1MALAYSIA – HADI

 

PAS yang ‘kasihan’ dengan usia Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah lanjut mengesahkan parti itu akan meletakkan calon bertanding di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata Mahathir sepatutnya berkhidmat di Klinik 1Malaysia dan bukannya bertanding bagi merebut jawatan wakil rakyat.

Oleh itu, PAS dan Gagasan Sejahtera akan meletakkan calon yang lebih muda serta bertenaga untuk berdepan Mahathir.

“Beliau (Mahathir) sudah berumur, sepatutnya sebagai doktor perubatan, beliau boleh berkhidmat dan berbuat kebajikan di Klinik 1Malaysia.

“Tapi beliau mahu bertanding, jadi kita kena lawan lah. Calon kita lebih bertenaga.

“Tak kira daripada PAS atau Gagasan Sejahtera, kita tetap ada calon untuk lawan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Titi Jeti Juru di Bukit Mertajam, pada Isnin.

Keputusan PAS untuk bertanding di Parlimen Langkawi adalah pertama kali dibuat oleh parti Islam itu, di kawasan tradisi UMNO berkenaan.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Dr Mahathir akan menjadi calon mewakili blok pembangkang bagi kerusi Parlimen Langkawi.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Langkawi dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nawawi Ahmad.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.