MAHATHIR TAK NYANYUK, TAPI HURU-HARA – NAZRI

 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad layak dipanggil sebagai ‘Tun M Huru Hara’, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu memberikan gelaran berkenaan kerana Mahathir tidak berhenti menyalahkan pembangunan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya berasa kasihan melihat Tun M dan pemimpin pembangkang tertinggi seperti Tun M dan Anwar Ibrahim sudah tua tapi masih tak berubah sikapnya, dia tidak nyanyuk, tetapi huru hara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Aplikasi perkhidmatan teksi tradisional iaitu E-Hailing pertama dengan butang kecemasan di negara ini di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan berterusan Mahathir yang kesal kerana Najib yang didakwanya tidak mewarisi karakter bapanya, Allahyarhan Tun Razak.

Menurut Mohamed Nazri, Mahathir tidak perlu meminta maaf kononnya rasa bersalah kerana memilih Najib sebagai Perdana Menteri.

“Kenapa dia perlu risau sangat, bukan dia (Mahathir) yang lantik, yang lantik Najib ialah Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

“Lagi pun Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga perlu dikesali rakyat, Tun M cakap demikian hanya sebagai syok sendiri,” katanya.

Rakyat sekarang menurut Mohamed Nazri melihat Mahathir bukan lagi pemimpin yang berprinsip seperti dahulu kerana mahu membalas dendam menjatuhkan Najib.

“Dia kesal anak dia (Datuk Seri Mukhriz) tiga kali kalah dalam iaitu tewas kepada Khairy Jamaluddin dalam merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, kalah jawatan Naib Presiden UMNO dan diturunkan sebagai Menteri Besar Kedah.

“Ini yang memaksa Tun M sanggup melupakan prinsip moral yang pernah dipikul dan sanggup berpakat dengan pembangkang demi membalas dendam kepada Najib dengan cuba menjatuhkan kepimpinannya,” dakwanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.