MAHKAMAH TOLAK RAYUAN TONY PUA

 

Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur, pada Rabu memutuskan bahawa walaupun memiliki pasport yang sah, hak rakyat Malaysia untuk ke luar negara adalah atas budi bicara kerajaan.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh, Tan Sri Idris Harun dan Datuk Kamardin Hashim membuat keputusan itu hari ini selepas menolak rayuan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Mahkamah juga membuat keputusan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan mengenai hak seseorang individu untuk melakukan perjalanan ke luar negara.

Pua mengemukakan rayuan bagi mencabar perintah Ketua Pengarah Imigresen yang melarangnya ke luar negara.

Idrus membacakan penghakiman selepas menangguhkan keputusan pada 19 April lalu, mendapati Perkara 5, Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan asasi mengecualikan hak untuk keluar negara.

“Peruntukan berhubung hak untuk keluar negara tidak dinyatakan secara jelas dalam Perkara 5,” katanya.

Selain itu, Mahkamah rayuan juga memutuskan bahawa Jabatan Imigresen tidak perlu memberikan alasan kepada Pua berkenaan kenapa beliau dilarang melakukan perjalanan ke luar negara.

Pada 22 Julai 2015, Pua dilarang ke Yogjakarta selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu Ketua Pengarah Imigresen bahawa wakil rakyat DAP  itu sedang disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Susulan itu, Pua memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada bulan Ogos 2015 bagi membatalkan keputusan imigresen untuk mengeluarkan perintah menghalangnya ke luar negara, bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan berkenaan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.