MAJORITI DUA PERTIGA KPI TIGA SAYAP UMNO

 

Memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti dua pertiga menjadi petunjuk indeks prestasi (KPI) bagi ketiga-tiga sayap parti membabitkan, Wanita, Pemuda dan Puteri yang mesti dicapai.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata untuk mencapai sasaran itu, adalah penting memastikan 100 peratus undi ahli UMNO tetap memihak kepada BN.

“Kita tidak mahu ada yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat (wait and see) sehingga ke saat akhir. Pastikan undi mereka masuk ke kantung BN! Begitu juga ahli-ahli parti dalam komponen BN. Pastikan mereka meletakkan kertas undi memilih BN sepanjang masa.

“Duhai Kak Ijat (Mak Tok) yang cantik bergaya dan tampak anggun setiap masa, pastikanlah sasaran ini dapat di perolehi. Buktikanlah bahawa tangan yang menghayun buaian itu mampu menggegar dan mengaut seberapa banyak undi kepada parti! Serlahkan semua potensi agar sayap wanita digeruni dan ditakuti lawan. Kita mampu menterjemahkan perasaan kasih sayang penuh berempati, memenuhkan peti-peti undi! Saya menyeru, peganglah seerat mungkin tali ukhuwah dan sumpah setia kita dalam menghadapi musuh bangsa.

“Tahniah kepada Pergerakan Wanita UMNO kerana sentiasa taat dan tidak pernah derhaka tidak goyah mengikat kesetiaan kepada Datuk Seri Presiden. Naluri wanita adalah naluri keibuan. Tidak mungkin seorang ibu meninggalkan keluarganya ketika susah. Tidak mungkin seorang ibu membiarkan keluarganya berpecah kerana fitnah. Inilah ikrar Wanita tahun lalu,” katanya ketika berucap merasmikan sayap parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Selasa malam.

Ahmad Zahid berkata, Pemuda harus mantap gagah dalam siap siaga. Sumpah Pemuda tidak akan pulang tanpa membawa kejayaan.

“Pastikan semangat Pemuda UMNO, jika dibakar tidak hangus dijemur tidak kering direndam tidak basah ditetak tidak putus…. Buat anakanda KJ “Mr Tall, Dark & Handsome” bantulah Ibu Terbaik Bangsa.

“Hulurkan tangan dan kudratmu yang penuh berurat itu membantu ibu memutihkan yang kelabu! Mengesan yang tidak dapat dikesan dan mencari yang belum dibanci! Jadilah perisai di barisan hadapan dengan Briged Gempurmu. Jadikanlah pasukanmu sebagai benteng yang kukuh dan kebal, yang tidak mampu ditembusi oleh pasukan musuh!.

“Kepada anakanda Mas yang semakin kemas. Berbaju kurung pink yang semakin ramping.Seperti kata Kak Ijat tahun lalu ‘kurung’ itu maknanya mengurung iman dan maruah. Maka jadikanlah baju kurung ini sebagai pusaka. Ibarat UMNO, pusaka bangsa yang perlu dipertahankan. Kepada puteri srikandi negara, santunilah setiap hati wanita muda, menangilah hati mereka, setia memilih BN yang berjasa,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.