MALAYSIA TAK AMAL UNDANG-UNDANG RIMBA – NAJIB

 

Suasana keamanan berterusan dinikmati pelbagai lapisan rakyat di negara disebabkan kerajaan tidak mengamalkan undang-undang ‘rimba’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata situasi itu akan terus terpelihara walaupun persekitaran global tidak pernah sepi dengan pelbagai ancaman.

“Kita ada pelbagai jabatan penguatkuasaan undang-undang, termasuk sumbangan Biro Tata Negara (BTN) yang menyemai nilai patriotisme dalam kalangan rakyat.

“Keamanan yang kita nikmati kini adalah kerana Malaysia tidak mengamalkan undang-undang ‘rimba’, sebaliknya berteraskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Perdana Warga, Sahabat dan Bekas Peserta BTN, di Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Sementara itu, majlis yang bermula sejak jam 1 petang tadi dihadiri lebih 3,000 orang yang disertakan dengan 30 gerai dengan pelbagai juadah untuk santapan.

Turut hadir memeriahkan majlis, Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Mengulas berkenaan BTN, Najib berkata agensi kerajaan itu masih relevan dengan peredaran masa kerana giat melaksanakan pelbagai program berunsurkan patriotisme.

“Agensi ini penting kerana generasi milenia, iaitu kelompok Transformasi Nasional 2050 (TN50) tidak tahu mengenai ancaman politik, krisis negara dan nilai menghargai perit jerih memacu pembangunan yang dirintis kerajaan.

“Sehubungan itu, perjuangan BTN ini tidak akan terhenti, sebaliknya diteruskan untuk menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 15 dan seterusnya, sekali gus menjamin kemenangan kita,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.