MALBATT 850-5 TIDAK TERANCAM

 

 

Batalion Malaysia 850-5 (MALBATT 850-5) yang kini berada di Lubnan tidak akan dibawa pulang ekoran krisis politik yang melanda negara itu masih lagi terkawal dan tidak membimbangkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihak kementerian akan sentiasa memantau berkaitan krisis itu setiap hari bagi memastikan keselamatan anggota batalion yang terlibat.

“Setakat ini tiada perkara yang membimbangkan atau insiden yang meragukan tetapi kita akan terus memantau setiap hari,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Tentera Darat dan Pelancaran Pakej Istimewa Panggilan dan Data (Pakej Tigatiga) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson pada Selasa.

Menurut Hishammuddin, sehari selepas peletakan jawatan itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, menghubungi Komander MALBATT 850-5 bagi mengetahui perkembangan semasa di negara itu.

Terdahulu, Lubnan kini berdepan krisis politik selepas Perdana Menterinya, Saad Al-Hariri, mengumumkan peletakan jawatan minggu lalu ketika berada di Arab Saudi kerana mendakwa nyawanya terancam, tindakan yang dibimbangi mencetuskan lebih ketidakstabilan dalam pada ketegangan yang sedia dialami di rantau itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.