MANGSA BANJIR DAPAT BANTUAN MAKANAN

 

Seluruh keluarga yang terlibat dengan banjir di negeri ini termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara akan diberikan bantuan makanan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini, hampir 6,000 keluarga yang terlibat dengan bencana alam tersebut akan diagihkan bantuan tersebut.

Katanya, bantuan tersebut disalurkan di seluruh PPS dan para petugas juga akan mengunjungi ke setiap rumah mereka yang terlibat bagi mengagihkan barangan keperluan itu.

“Bantuan makanan yang disediakan di dalam bakul itu merangkumi beras, gula, gandum dan minuman.

“Apa yang dilakukan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Saya ada bertemu Perdana Menteri pada Khamis lalu dan beliau meminta bantuan disegerakan kepada semua mangsa banjir,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran agihan makanan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa kagum dengan semangat dan komitmen seluruh jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan cukup baik bagi memastikan segala urusan membantu mangsa banjir berjalan lancar.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.