MARA: ANNUAR SUDAH DIPANGGIL

 

MARA kini hanya menunggu penjelasan Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan isu tajaan bola sepak pasukan The Red Warriors (TRW) oleh Permodalan Mara Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Pengerusi sementara Mara, Datuk Dr Yusof Yacob mengesahkan MARA sudah memanggil Annuar untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman MARA berhubung beberapa isu agensi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, Annuar yang masih bercuti daripada jawatan itu bagaimanapun belum hadir untuk menjelaskan mengenai semua perkara yang timbul.

“Beliau sudah dipanggil tetapi belum (hadir) beri keterangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Usahawam Muda Yayasan Pelajaran Mara di Sekolah Menengah Berampah di SIPITANG pada petang Rabu.

Yusof bagaimanapun tidak menjelaskan bila Annuar akan dipanggil atau jika ada tarikh yang ditetapkan, sebaliknya beliau menegaskan isu berkenaan akan selesai tidak lama lagi.

Pada Januari lalu, Annuar dinasihatkan bercuti sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi PMB bagi memberi laluan kepada proses siasatan termasuk dalam isu penajaan PMB serta UniKL untuk pasukan bola sepak TRW.

Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat khas Mara yang diadakan susulan isu berkenaan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.