MASJID JADI TEMPAT SEBAR FAHAMAN POLITIK – NOH

 

Badan Perhubungan UMNO Selangor mempersoalkan tindakan kerajaan negeri PKR yang mengedarkan akhbar miliknya di masjid seluruh negeri ini, yang mana kandungan beritanya lebih banyak menyentuh isu politik.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, PKR perlu menghentikan pengedaran akhbar tersebut kerana masjid bukan tempat yang sesuai menyebarkan fahaman politik.

Jelasnya, JAIS diminta mengambil tindakan sewajarnya, termasuk memanggil Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

“JAIS sepatutnya peka dengan perkara ini kerana ia melibatkan masjid yang dijadikan tempat untuk menyebarkan cerita politik.

“Isi kandungan akhbar kerajaan negeri ini lebih kepada berita politik yang jelas tiada kena mengena dengan dasar pembangunan dan program kerajaan negeri.

“Kebanyakan tajuk berkisar kempen politik pembangkang (Pakatan Harapan), itu yang kita tidak setuju,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program walkbout sekitar pekan Tanjung Karang.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Ban­dar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, semua pihak diminta patuh kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang masjid dijadikan gelanggang berpolitik.

“JAIS seharusnya perlu membuat pemantauan lebih tegas terhadap akhbar ini dan sekiranya berterusan, saya anggap pihak berkenaan mengabaikan titah tuanku Sultan Selangor.

“Berikutan itu, kerajaan negeri perlu menghentikan penyalahgunaan akhbar yang menggunakan duit rakyat ini dan menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik,” katanya.

Noh berkata,  ketika Selangor di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kandungan akhbar ini lebih menumpukan mengenai pembangunan serta dasar, namun ia berbeza sama sekali sejak di bawah pentadbiran Azmin.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.