MAUT KERANA CINTA TERLARANG

 

Seorang penjual ikan di Pasar Slim River mati dibunuh teman lelaki kakaknya di hadapan sebuah rumah di Taman Slim Permai di Slim River, awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa Rosli Zulkharnain Kamaruddin, 30, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Slim River akibat kecederaan parah selepas ditikam dengan pisau pada bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek lelaki yang berumur 47 tahun turut cedera selepas dibelasah oleh abang mangsa.

“Abang mangsa yang berusia 38 tahun itu kini ditahan kerana mencederakan suspek termasuk menghentak belakang kepalanya di atas jalan raya.

“Suspek yang merupakan jiran mangsa menjalin hubungan cinta dengan kakak mangsa berumur 35 tahun selain tidak menolak kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan masalah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata polis telah merampas dua unit telefon bimbit dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.