MB SAH TERIMA SURAT PELETAKAN JAWATAN LATIF

 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pihak kerajaan negeri menghormati keputusan yang diambil oleh Abd Latif dan menyifatkan ia pastinya berdasarkan penilaian terbaik untuk semua pihak.

“Kerajaan negeri sudah menerima surat peletakan jawatan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan, Datuk Abd Latif hari ini. Surat peletakan jawatan itu memaklumkan bahawa beliau melepaskan semua jawatan rasmi Kerajaan Negeri Johor.

“Saya berharap proses keadilan dapat berlangsung mengikut peruntukan undang-undang yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri dan beliau secara peribadi merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan di atas jasa dan khidmat bakti yang disumbangkan Abd Latif sepanjang bertugas dengan kerajaan negeri.

“Pihak kerajaan negeri berharap dan mendoakan supaya segala urusan beliau selepas ini dipermudahkan dan berjalan lancar,” katanya.

Abd Latif bercuti daripada memegang jawatan berkenaan sejak 10 Mac lalu bagi membantu siasatan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Pada prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, Abd Latif bersama perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, mengaku tidak bersalah terhadap masing-masing 33 pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah lebih RM30.3 juta.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.