MENANTU TPM TERIMA LEBIH 8 SUNTIKAN BIUS

 

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Rabu diberitahu Allahyarham Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, yang juga menantu timbalan perdana menteri diberikan lebih lapan suntikan bius sepanjang proses pembedahan kecil untuk mengeluarkan gigi bongsu di Pusat Pakar Pergigian Imperial pada Jun tahun lepas.

Seorang saksi iaitu pembantu Jururawat, Kristine G Flores, 29, berkata Syed Alman Zain (foto) menerima lima suntikan bius sebelum pembedahan bermula dan lebih daripada tiga suntikan semasa menerima bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

?“Pesakit menerima semua suntikan itu daripada Doktor,” katanya yang turut mengenal pasti doktor perbidanan dan sakit puan, Dr Ting Teck Chin yang berada di kandang tertuduh yang didakwa menyebabkan kematian Syed Alman Zain.

Kristine dari Filipina merupakan saksi pendakwaan ke-15 berkata demikian ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar dalam perbicaraan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa bantuan CPR diberikan selepas doktor yang menjalankan pembedahan mendapati mangsa berhenti berdengkur di pertengahan rawatan.

“Pesakit berdengkur sepanjang proses pembedahan berlangsung dan dengkurannya kuat,” katanya sambil menambah Teck Chin turut memeriksa denyutan jantung mangsa sebelum memberikan CPR.

Pada 12 Ogos tahun lalu, Teck Chin, 36, yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44.

Teck Chin, yang bertugas di Jabatan O&G Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Brickfields antara 6 petang dan 9.05 malam.

Doktor berkenaan yang diwakili peguam Datuk K Kumaraendran didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian tahun lalu, Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah, 38, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.

Perbicaraan bersambung pada 1 Nov depan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.