MISI KE7B BERJAYA CAPAI MATLAMAT

 

Tiga penjelajah negara Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017, berjaya menamatkan misi ke Titik 90 Darjah Utara pukul 5.06 petang semalam waktu Kutub Utara (11.06 malam Khamis waktu Malaysia).

Menurut Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd. Yusof, kejayaan menamatkan misi itu dimaklumkan Ketua Penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin menerusi panggilan telefon satelit malam tadi.

Dua orang lagi penjelajah lain yang turut bersama-sama dengan Qobin ialah atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana negara kita sekali lagi mencatat sejarah dengan kejayaan Qobin, Shahrom dan Irwan yang berjaya bukan sahaja memahatkan nama mereka sebagai Penjelajah Kutub Utara.

“Malah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, kerana mereka bertiga membawa nama negara dan berski di Kutub Utara bersama-sama dengan beberapa orang lagi penjelajah dari negara lain.

“Ini termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada,” kata Akmar Hisham menerusi satu kenyataan kepada media di stesen Longyearbyen, Svalbard, Norway pada Jumaat.

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 akan membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji (sledge) sejauh 111 kilometer yang memakan masa selama 11 hari.

Ia bermula dari Stesen Barneo ke Titik 90 Darjah Kutub Utara. Bagaimanapun, ketiga-tiga penjelajah negara itu berjaya menamatkan misi mereka  dalam tempoh enam hari sahaja iaitu lima hari lebih awal daripada jadual.

 

Wartawan Watan-Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.