MISTERI WAN PEAH CATAT 10 JUTA PENONTON

 

Percubaan TV3 memperkenalkan slot Seramedi mendapat maklum balas sangat memberangsangkan apabila drama sulung yang mengisi tayangannya, Misteri Wan Peah, mencatat 10 juta tontonan.

Mengikut sumber Nielsen Audience Measurement, catatan itu adalah bagi rating terkumpul untuk semua episod, manakala rating sejam pada malam episod akhir mencecah 3 juta tontonan.

Pengarahnya, Azman Yahya atau Jinggo dalam satu kenyataan berkata, beliau berbangga apabila karyanya dihargai meskipun dibarisi pelakon baharu.

“Semestinya saya berbangga apabila Misteri Wan Peah diterima, dinilai dan dihargai oleh masyarakat.

“Pada mulanya saya juga ragu-ragu sama ada drama ini akan mendapat sambutan atau tidak, lebih-lebih lagi apabila saya membariskan pelakon baharu.

“Ternyata, walaupun mereka tidak mempunyai pakej seperti perumpamaan yang saya berikan kepada mereka iaitu ‘muka tak pergi, lakonan memberi’, masing-masing menjayakan watak dengan berkesan,” katanya.

Kata Jinggo, sebagai penggiat industri, beliau dan isterinya, Sheila Rusly, selaku penerbit, mahu melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mempunyai potensi besar sebagai pelakon berjaya.

Misteri Wan Peah terbitan JS Pictures mula bersiaran pada 13 Februari dan tamat pada 31 Mac lalu.

Ia dilakonkan oleh Acap Tokan, Zee Tokan, Faiz Tapaw, Sasqia Dahuri, Indah Emelda, Sweet Farhana, Sherry Al-Hadad, Ariff Aziz, Delimawati dan Usop Wilcha.

Kisah misteri bermula apabila tiga rakan karib iaitu Yeh Kumbang (Acap), Li Kelubi (Zee) dan Ghani Gagap (Faiz) pernah disergah oleh Wan Peah sewaktu mereka kecil sehingga mereka jatuh sakit.

Peristiwa itu masih menghantui mereka sehingga masing-masing dewasa. Selama 12 tahun, orang kampung tidak melihat kelibat Wan Peah, sehingga mereka berfikir dia sudah meninggal dunia.

Tiada siapa juga yang peduli kerana mereka juga tidak berani untuk mendekati rumah Wan Peah.

Seluruh kampung kecoh apabila kelibat Wan Peah kembali mengganggu orang kampung selepas kemunculan Cik Siti (Sasqia Dahuri), bersama anaknya, Aisyah (Indah Emelda) dan adiknya, Nurin (Sweet Farhana), yang baru berpindah ke sebelah rumah Wan Peah.

Sementara itu, selepas tamatnya Misteri Wan Peah, drama Samarinda, Menanti Februari, yang dibarisi pelakon seperti Zul Ariffin, Fathia Latif, Afiq Muiz dan Datuk Rahim Razali, akan mengambil alih slot Seramedi.

Ia akan menemui penonton pada setiap Isnin hingga Rabu, jam 10 malam.

 

Sumber BHOnline

Leave a Reply

Your email address will not be published.