NAJIB BERJIWA BESAR – SHAHRIZAT

 

Pergerakan Wanita UMNO menyifatkan presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang pemimpin berjiwa besar apabila mengenepikan emosi dan fahaman politik semata-mata ingin membela nasib rakyat.

Perkara itu diterjemahkan Perdana Menteri semasa membantu mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau yakin perkara itu diakui rakyat bahawa Perdana Menteri adalah seorang berjiwa besar.

“Beliau tahu mengasingkan waktu bila musuh harus ditentang dan waktu bila pekerti harus dijulang,” kata beliau semasa ucaptama Persidangan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Rabu.

Beliau kemudiaan memberikan contoh semasa bencana banjir besar di Pulau Pinang baru-baru ini dimana Najib bukan sahaja turun untuk bertemu rakyat di negeri tersebut malah mengumumkan peruntukan untuk mitigasi banjir bagi mengelak insiden sama berulang pada masa depan.

“Datuk Seri Najib sendiri turun bersama isteri, meredah air banjir di Bukit Mertajam, merasai sendiri kesusahan rakyat di sana. Siap umum bakal peruntukkan projek bernilai RM1 bilion untuk mitigasi banjir di negeri pembangkang tersebut.

“Sebelum itu, pukul 3 pagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jawab panggilan Lim Guan Eng dan terus hantar bantuan. Datuk Seri Hisham (Hishammuddin Hussein) juga kerah beribu anggota pertahanan bantu segera selamatkan rakyat Pulau Pinang,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Shahrizat turut mempertikai kemampuan pemimpin pembangkang untuk mencontohi sikap yang ditonjolkan oleh pemimpin utama UMNO tersebut.

“Apa akan ada pemimpin-pemimpin seperti ini dalam DAP atau PKR atau PBBM? Pemimpin yang rela mengenepikan emosi, kemarahan dan kebencian. Menggantikan ia dengan bantuan dan pertolongan tanpa syarat?

“Didikan UMNO melahirkan pemimpin berjiwa besar. Selagi tali bersatu, bersetia, berkhidmat dipegang kejap pemimpin dan ahli UMNO, selagi itulah mereka akan terus berjiwa besar,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.