NAJIB DAPAT INJUKSI SEMENTARA TERHADAP PUA

 

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan perintah injuksi sementara kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke atas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada mengulangi kenyataan yang didakwa memfitnah.

“Dengan ini, perdana menteri dilindungi daripada didakwa lagi,” kata peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, pada Jumaat.

Perintah itu akan berkuat-kuasa sehingga tarikh perbicaraan yang belum ditetapkan.

Ini kerana, kata Hafarizam, hakim ingin mengekalkan status quo dalam kes ini.

Injuksi itu difailkan Najib bagi menghalang Pua yang didakwa memfitnahnya berhubung satu klip video yang dimuatnaik di laman Facebook, pada April lalu.

Najib mendakwa perkataan yang digunakan dalam ucapan di Facebook itu secara tersirat mengatakan perdana menteri telah menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan kabinet, melalui speaker Dewan Rakyat, membenarkan pembentangan pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355 ) oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pua dalam pembelaannya membangkitkan perlindungan bersyarat, justifikasi dan komen berpatutan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.