NAJIB DIBENAR JADI PENCELAH KES SAMAN ZAID

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenar menjadi pencelah dalam kes saman pemula dikemukakan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim terhadap AmBank Islamic Berhad.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail selepas kes didengar dalam kamar hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Rohani menetapkan 15 September depan untuk pengurusan kes.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Najib, berkata mahkamah membenarkan permohonan mereka dan memerintahkan afidavit difailkan pada 18 Ogos depan.

Peguam Americk Sidhu yang mewakili Zaid berkata mahkamah membenarkan permohonan itu kerana Najib mempunyai kepentingan berikutan membabitkan akaun bank miliknya.

Zaid memfailkan pemula ex-parte (sebelah pihak) terhadap AmBank Islamic Berhad bagi memohon bank itu mendedahkan lima akaun yang didakwa milik Najib di bank berkenaan yang didakwa membabitkan isu dana berjumlah RM2.6 bilion.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 21 Oktober tahun lalu, Zaid antaranya memohon perintah mahkamah untuk membenarkan beliau atau peguamnya memeriksa dan mengambil salinan kemasukan dibuat dalam lima akaun AmBank Islamic Berhad yang didakwa milik Najib.

Najib memfailkan permohonan menjadi pencelah dalam saman pemula itu pada 14 Disember tahun lalu.

 

Wartawan Watan-Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.