NAJIB IKRAR PACU EKONOMI BUMIPUTERA

 

Datuk Seri Najib Razak hari ini berikrar akan terus memperjuangkan agenda Bumiputera sehingga mencapai matlamat 30 peratus ekuiti yang disasarkan.

Perdana Menteri berkata, agenda itu akan terus dipertahankan selagi mana nyawa dan jasad dikandung badan.

Ikrar itu dilafazkan Najib semasa melancarkan agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang merupakan kesinambungan kepada Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0 (HTEB) yang dikendalikan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sejak 2012-2017.

“Selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dimulakan ayahanda saya (Tun Abdul Razak), perjuangan saya demi kesejahteraan Bumiputera bukan sekadar kedudukan selaku pemimpin, tetapi datang dari leluhur saya yang ikhlas dan jujur.

“Kepada orang Melayu dan Bumiputera Islam dan bukan Islam yang menginduki negara ini, usahlah gundah dan bimbang.

“Selagi nyawa dikandung jasad, agenda TKB ini akan ‘tatap kita perjuangkan sampai bila-bila,” katanya di ibu negara pada Rabu.

Pelancaran itu diadakan sempena Pameran “Memacu Agenda Bumiputera 2017” di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC).

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

TKB menggariskan lima transformasi utama, iaitu melonjakkan skala syarikat bumiputera, memperkasakan modal insan, meningkatkan daya saing, memberdaya mobiliti sosial dan transformasi secara tuntas dan holistik.

Katanya, inisiatif ini menunjukkan semangat DEB terus hidup dan dasarnya dilaksanakan sehingga kini.

“Hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mesti dipertahan sampai bila-bila…bahkan kekat menjadi agenda nasional,” katanya.

Namun katanya, ia tidak bermakna kerajaan mengambil hak-hak kaum lain.

“Kerajaan sentiasa beringat dalam memperjuangkan agenda bumiputera, ia bukan bermakna kita sewenangnya mengambil hak orang lain. Secara beriring, kerajaan wajib menjaga kepentingan sah kaum-kaum yang ada di negara ini,” katanya.

 

Wartawan Watan-online

Leave a Reply

Your email address will not be published.