NAJIB SAKSIKAN MOU PERTANDINGAN SENI NEGARAKU

 

Datuk Seri Najib Razak, hari ini menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) program ‘Pertandingan Seni Negaraku’ antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Pendidikan di PUTRAJAYA pada Rabu.

Ia adalah antara program di bawah inisiatif ‘Negaraku’ yang dilancarkan Perdana Menteri pada 18 Mac lalu di Putrajaya, bertunjangkan semangat cintakan Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan nanti, dengan Ekspresi Negaraku sebagai platform pertama memacu inisiatif berkenaan.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad, KSU Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmed Dawa.

Majlis di Bangunan Perdana Putra sebentar tadi itu disaksikan oleh Najib bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Pertandingan seni kebangsaan itu membabitkan lebih lima juta pelajar dari 10,176 sekolah di seluruh negara dan karya pelajar terpilih akan dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.