NAJIB WAJAR DILAYAN SEADILNYA – SHAHRIL

 

Pergeledahan pihak polis terhadap kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di hari pertama umat Islam menyambut Ramadan amat dikesalkan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia Shahril Hamdan berkata, pergeledahan polis itu menggambarkan tiada belas ihsan terhadap bekas pemimpin yang banyak menabur jasa kepada negara itu.

“Penggeledahan berterusan melebihi 18 jam yang dibuat oleh hampir 50 – 60 anggota PDRM pada malam tibanya bulan mulia Ramadan memperlihat seakan tiada belas kasihan bagi Dato’ Sri Najib yang sudah pun menyatakan komitmen beliau untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Kekhuatiran saya ini ditambah dengan kenyataan oleh peguam Datuk Sri Najib yang menyatakan bahawa pihak PDRM terus menggeledah setiap bahagian rumah beliau walaupun dikatakan akan berhenti pada pukul 5 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Bagaimanapun Shahril menegaskan dirinya tidak mempersoalkan hak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan serta konsisten dengan undang-undang negara.

“Saya berharap segala tindakan tersebut juga mengambil kira bahawa sehingga hari ini, Datuk Sri Najib bekas Perdana Menteri yang sudah banyak berjasa kepada negara serta menjadi wakil rakyat sejak beliau berumur 23 tahun, belum lagi didakwa di mahkamah lantas wajar diberi layanan yang adil sejajar dengan prinsip “innocent until proven guilty” yang saya yakin turut didukung oleh Pakatan Harapan yang memperjuangkan demokrasi selama ini,” jelas Shahril.

Pada masa sama, Shahril turut menghargai kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah yang turut mempertikaikan tindakan pihak polis itu.

“Saya menghargai kenyataan YB Nurul Izzah yang turut menzahirkan kekhuatiran beliau berkenaan apa yang berlaku semalam dan saya berasa lega kerana dalam Kerajaan baru Pakatan Harapan ini sekurang-kurangnya ada pemimpin yang mahu memaparkan sifat kesederhanaan mencerminkan budaya Malaysia yang penuh budi pekerti.

“Dalam Malaysia baru ini, saya berharap pihak berkuasa akan menjalankan penyiasatan secara profesional dan adil menurut lunas undang-undang negara dan bertindak secara bebas bukan di bawah telunjuk atau tekanan sesiapa,” ujarnya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.