NELO VINGADA ANGKAT KAKI

 

Ketua jurulatih kebangsaan Harimau Malaya, Nelo Vingada melepas jawatan, berkuatkuasa serta-merta.

Pembantu beliau, Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa, masing-masing merupakan penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan yang dibawa untuk menyertai beliau turut mengambil tindakan yang sama.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya dengan ini bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 15 Mei lalu, jurulatih warga Portugal yang berusia 64 tahun itu dilantik untuk mengemudi pasukan bola sepak negara dan tugas pertama beliau ialah menyiapkan pasukan negara menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia 2019.

Namun Malaysia tidak menunjukkan prestasi yang baik pada pusingan kelayakan itu apabila mencatatkan empat kekalahan dan seri sekali, sekali gus tersingkir untuk mara ke pusingan akhir.

Dalam tempoh 35 tahun kerjaya sebagai jurulatih, beliau pernah mengendalikan skuad kebangsaan Arab Saudi (1996-97), skuad Olimpik Mesir (2004-05), skuad kebangsaan Jordan (2007-09) dan skuad Olimpik Iran (2014).

Menurut Vigada, beliau berharap bola sepak Malaysia kembali bersinar selepas ini dan rasa berbangga kerana dapat menjadi sebahagian warga bola sepak negara ini biarpun dalam tempoh masa yang singkat.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.