NFC : MUHYIDDIN CUBA CUCI TANGAN

 

Jika sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang lantang mempertahankan projek National Feedlot Corporation (NFC) yang disifatkannya sebagai fitnah pembangkang, namun, hari ini nadanya berbeza sejak menyertai Pakatan Harapan (PH).

Hari ini, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyelar Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang memintanya menjawab isu kegagalan NFC yang tidak mencapai matlamatnya.

Muhyiddin berdalih, Mohd Puad tidak perlu mencabarnya menjelaskan isu itu kerana umum mengetahui kes itu sudah disiasat pihak berkuasa.

“Saya akui projek itu sewaktu saya jadi Menteri Pertanian kerana kehendak pimpinan waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mahu tingkatkan hasil pengeluaran.

“Apa yang sepatutnya Mohd Puad tanya, kenapa kerajaan tidak ambil tindakan kepada pihak pengusaha sehingga projek menjadi kenyataan itu tidak berjaya,” katanya kepada media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Petaling Jaya, pada Rabu.

Semalam Mohd Puad menyeru Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendesak Muhyiddin menjelaskan isu NFC memandangkan ketika projek itu dimulakan pada tahun 2006 beliau menyandang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mohd Puad juga mempersoalkan kenapa bekas Timbalan Presiden UMNO itu mengelak daripada menjelaskan isu NFC.

Menurut Muhyiddin, Mohd Puad sapatutnya mempersoalkan mengapa projek membangunkan industri daging lembu negara itu gagal dilaksanakan.

“Dia mesti tahu keadaan sebenar untuk bertanya apa yang sebenarnya berlaku terhadap projek itu,” katanya.

 

Oleh Najamuddin Mohd Nor

Leave a Reply

Your email address will not be published.