NOVEMBER 2018 SASARAN BAHARU METERAI RCEP SHARE

Foto BERNAMA

 

Kerjasama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) membabitkan 16 negara, dijangka dapat dimeterai pada November 2018 semasa Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Singapura setelah dua tarikh akhir gagal dipenuhi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata para pemimpin yang bertemu buat julung kalinya semasa Sidang Kemuncak RCEP di sini hari ini sepakat untuk menjalankan rundingan secara intensif bagi mencari kata sepakat dan mengurangkan jurang, dengan sasaran baru November 2018.

“Setakat ini 20 pusingan rundingan dan sembilan mesyuarat di peringkat menteri sudah diadakan,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Manila pada Selasa.

Jika direalisasikan, perjanjian perdagangan bebas antara 10 anggota ASEAN dan enam rakan dialog mereka, iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan akan mewujudkan blok perdagangan terbesar dunia, yang merangkumi hampir satu pertiga daripada ekonomi global.

Ia dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja dan menonjol selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan negaranya menarik diri daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) susulan pemilihan presiden tahun lalu.

RCEP mempunyai 3.4 bilion penduduk dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak AS$49.5 trilion atau kira-kira 39 peratus daripada KDNK dunia.

Najib berkata, pemimpin ASEAN mengambil maklum bahawa terdapat beberapa isu mengenai kaedah akses pasaran berkenaan tarif, sektor perkhidmatan, pelaburan dan peraturan yang belum dapat diselesaikan yang menjejaskan proses memuktamadkan rundingan itu.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.