PALESTIN : PAS BANTAH PENDIRIAN MENTERI LUAR

 

PAS membantah kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada Mesyuarat Luar Biasa Terbuka Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkenaan penyelesaian dua negara (two-state solution) sebagai penyelesaian yang paling berdaya maju bagi Israel dan Palestin.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan, kenyataan itu didakwa membelakangkan perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin yang selama ini berusaha demi membebaskan Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada penjajahan Zionis-Yahudi.

“Penyelesaian dua negara sebagai jalan keluar bagi isu ini memperlihatkan bahawa YB Menteri dan Kementerian Luar Negeri atau Kerajaan Malaysia sendiri tidak jelas dengan kedudukan isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa ini menurut perspektif sejarah dan akidah Islam.

“Menyokong penyelesaian dua negara ini juga bererti memberikan pengiktirafan tidak langsung kepada kewujudan Israel sedangkan ia adalah sebuah negara haram yang ditubuhkan secara tidak bermaruah melalui pembunuhan, pencabulan hak asasi dan pelanggaran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru, menurut Nasrudin, PAS mendesak Kementerian Luar Negeri menarik semula kenyataan itu dan juga menggesa kerajaan Malaysia agar menjelaskan pendirian dan sikap rasmi negara berhubung perkara itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.