PAMERAN ‘OPS LALANG’ BUKTI KEKEJAMAN MAHATHIR

 

Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) bergabung bagi mengadakan pameran Operasi Lalang (Ops Lalang) sempena ulang tahun ke-30 operasi itu bagi mengenang ‘kekejaman’ bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Operasi berkenaan yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menangkap seramai 106 aktivis dan musuh-musuh politiknya.

SUARAM bersama bersama tiga lagi badan, Civil Rights Comittee of KLSCAH, Teoh Beng Hock Trust For Democracy dan KLSCAH Youth menganjurkan pameran berkenaan pada 20 Oktober ini.

Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, pada Jumaat, berkata Operasi Lalang merupakan peristiwa pelanggaran hak asasi manusia yang paling utama dalam sejarah Malaysia.

“Ia menyaksikan kerajaan pimpinan Mahathir menggunakan ISA untuk menahan 107 ahli politik, sosial aktivis, ahli akademik dan guru bermula pada 27 Oktober 1987.

“Kerajaan juga mengharamkan tiga penerbitan, Sin Chew Jit Poh, Watan dan The Star,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy.

Jelas Sevan, operasi tersebut sebenarnya dijalankan oleh Mahathir bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan kuasanya dalam UMNO pada ketika itu yang sedang berpecah akibat perpecahan kem Team A dan Team B tetapi yang menjadi mangsa adalah musuh-musuh politiknya.

“Diketahui umum bahawa ketegangan kaum adalah gerakan yang dijalankan oleh UMNO untuk mendapatkan sokongan orang Melayu kepada Mahathir yang mengetuai Team A dimana sedang dilawan Team B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah waktu itu,” katanya.

Malah, Sevan berkata, Mahathir tidak pernah berhenti sejak kejayaan Operasi Lalang malah berterusan menggunakan ISA untuk menekan dan menangkap musuh-musuh politiknya.

“Mahathir terus menggunakan ISA untuk menangkap pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad dan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Dalam pada itu, sasterawan negara, A. Samad Said berkata, pameran yang bakal diadakan itu penting khususnya untuk generasi muda supaya sedar tentang betapa pentingnya untuk menghormati demokrasi.

“Ia bertujuan untuk menyedarkan rakyat supaya ‘mencantas’ demokrasi dan tidak mengulangi operasi seperti itu lagi,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.