PAS DAKWA AZMIN BAGI ‘DEDAK’ PRU

 

PAS menyifatkan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menyalurkan bantuan tunai sehingga mencecah RM 2.2 juta kepada penduduk Bukit Antarabangsa dan Gombak sebagai sogokan yang tidak beretika.

Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata tindakan Azmin memberikan bantuan menjelang Pilihanraya Umum (PRU) di kedua-dua kawasan yang pernah beliau wakili itu seolah-olah cuba untuk mempengaruhi sentimen pengundi untuk mendapatkan sokongan.

“Dikala PKR sering mencemuh pemerintah BN menyalahgunakan kuasa, pengaruh dan kedudukan sebagai kerajaan sementara untuk mempengaruhi pengundi, tindakan Azmin adalah sama sahaja.

“Tidaklah juga menghairankan kerana kebanyakan pimpinan PKR termasuklah Azmin sendiri datang dari UMNO-BN,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau turut menyindir tindakan Azmin yang pulang menaiki Grab selepas memulangkan kenderaan rasmi kerajaan untuk menegaskan tidak menyalahguna harta kerajaan sebagai semata-mata gimik politik.

Beliau turut mengingatkan pengundi untuk menilai keadaan yang berlaku dalam usaha memilih pemimpin yang jujur dalam melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara kelak.

“PAS menjunjung Budaya Politik Matang dan Sejahtera dan menolak penyalahgunaan kuasa, kedudukan serta menggunakan politik wang bagi mempengaruhi pilihanraya.

“Insiden seperti ini seharusnya menyedarkan rakyat untuk menilai antara integriti dan gimik politik dan kepentingan memilih pemimpin yang jujur dan bersih untuk memimpin negara pasca PRU14,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.