PAS LEBIH BERTAMADUN – MAHDZIR

23400976

 

Ahli Parlimen dalam kalangan pembangkang yang meninggalkan dewan ketika pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen semalam, perlu mencontohi sikap PAS yang lebih bertamadun.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pembangkang selalu mendakwa mereka golongan terpelajar dan bertamadun tetapi tingkah laku yang ditunjukkan adalah sebaliknya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan, berkata sikap matang dan intelektual seharusnya menjadikan seseorang itu lebih menghormati orang lain dan menjadi pendengar yang bijaksana.

“Melihat situasi yang berlaku semalam, ia jelas menunjukkan PAS lebih bertamadun berbanding pembangkang lain yang lebih cenderung membuat bising sejak mula Perdana Menteri membentangkan bajet.

“Mereka perlu belajar daripada PAS cara menjadi orang yang bertamadun. Lihat pemimpin PAS, mereka sendiri ada yang tidak bersetuju, tetapi akan menggunakan peluang yang diberi kelak untuk membahaskan isu yang berbangkit dalam Dewan Rakyat nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Guru-Guru Tamil Sempena Sambutan 200 Tahun Pendidikan Tamil di Malaysia di Bedong, Merbok di sini, hari ini.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.