PAS PECAH BELAHKAN MELAYU – MAHATHIR

 

UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disebabkan pertolongan PAS, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia disebabkan keengganan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir dalam tulisan terbaru dalam blognya turut berkata, PAS hanya akan memecahbelahkan undi orang Melayu yang menyebabkan kuasa politik orang Melayu berkurangan.

Katanya berdasarkan pencapaian PAS selama ia ditubuh, harapan untuk memerintah di peringkat pusat tidak ada sama sekali.

“Hanya di waktu menyertai BN sahaja yang PAS menjadi parti kecil dalam kerajaan pusat.

“Perjuangannya sebagai parti Islam, jika ada, tidak sedikitpun berhasil. Kejayaannya terhad kepada memecahbelah orang Melayu sehingga pengaruh dan kuasa mereka berkurangan dalam politik negara,” katanya.

Justeru, Mahathir dengan keras menyatakan penubuhan parti Islam itu merupakan malapetaka buat orang Melayu yang masih menyokong parti berkenaan yang pada pandangan beliau memecahbelahkan masyarakat Melayu.

“Bagi orang Melayu penubuhan PAS adalah satu malapetaka. Ia memecahbelah perpaduan Melayu dalam UMNO yang berjaya tumpaskan Malayan Union. Walaupun orang Melayu menjadi majoriti di Malaysia, tetapi dengan adanya PAS orang Melayu tidak menjadi majoriti lagi,” tambahnya lagi.

PAS sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding berseorangan dalam PRU14, malah parti itu meletakkan sasaran 80 kerusi Parlimen untuk ditandinginya.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang tidak menolak akan turut meletakan calon di kerusi milik DAP dan PKR.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.