PAS TIDAK AKAN KERJASAMA DENGAN UMNO

 

PAS tidak akan menjalin kerjasama politik dengan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14), kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

“Majlis Syura Ulama sudah menjelaskan tidak boleh bekerjasama.

“Bagaimanapun dalam isu RUU355, kita bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan supaya rang undang-undang itu boleh dibentangkan di Parlimen,” katanya selepas majlis Hari Raya Aidilfitri PAS Perlis di Kangar, pada Sabtu.

Ditanya mengenai PRU-14, Takiyuddin berkata PAS bakal bertanding kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang dimenangi bekas rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat  serta UMNO.

“Kita mensasarkan memenangi tidak kurang 40 kerusi Parlimen termasuk kerusi yang dimenangi UMNO selain PKR,” kata Ketua Whip Ahli Parlimen PAS itu.

Beliau juga menjelaskan bahawa partinya mempunyai strategi realistik  seperti meletakkan calon bukan Islam di  kerusi majorti pengundi bukan Islam.

“PAS kini sedang mengenalpasti tiga calon di setiap kerusi Parlimen untuk dikemukakan kepada Majlis  Syura  yang akan membuat tapisan bagi memilih seorang mewakili parti itu di setiap kerusi ditetapkan,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.