PDRM SIASAT SURAT TERBUKA

 

Polis sedang meneliti semula kertas siasatan kes samun susulan surat terbuka dimuat naik oleh individu mendakwa mangsa kes itu di media sosial sehingga menjadi tular.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya akan melihat semula kes itu dengan bagi mengetahui apa yang menyebabkan mangsa tidak berpuas hati terhadap siasatan.

“Kita akan ambil semula kertas siasatan, tengok apa yang berlaku kerana kita ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi serta apa tindakan yang perlu diambil jika membabitkan kes samun.

“Kita akan siasat jika berlaku perlanggaran SOP dan menghilangkan keterangan seperti didakwa mangsa kerana jika benar, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan,” katanya, Jumaat.

Beliau berkata selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Mes Pegawai Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Kelmarin, pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Nukman Muqarrin, memuat naik status bertajuk ‘Surat Terbuka Untuk Polis Diraja Malaysia bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap siasatan berhubung kes samun bersenjata oleh sekumpulan lelaki didakwa adalah dirinya pada 20 Februari lalu.

Kandungan surat itu antara lain mendakwa polis cuba ‘membuang kes’ dengan menyerahkan barang bukti kepadanya sebelum kes dibicarakan di mahkamah, selain dikatakan memalsukan tandatangan dokumen kawad cam.

Lelaki itu juga mendakwa diminta tidak hadir ke mahkamah selain hampir semua saksi gagal hadir memberi keterangan, menyebabkan kes tertangguh.
Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.