PEGAWAI SPR REMBAU TERIMA UGUTAN BUNUH

 

Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis, semalam, selepas menerima ugutan bunuh menerusi Facebook.

Pegawai Perhubungan Media PRU14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Mazrin Mahmud, berkata lelaki berusia 36 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Rembau pada jam 12.35 tengah hari.

Katanya, mangsa yang bertugas di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Rembau, Rembau, pada 28 April lalu itu menerima pesanan ringkas daripada rakannya yang berkongsi paparan skrin Facebook memuatkan komen berbaur ugutan terhadapnya.

“Berdasarkan kandungan itu, mangsa diugut akan dicederakan dan dibunuh selain terdapat beberapa perkataan jelik yang ditujukan kepadanya.

“Kami sudah merakam keterangan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya di Seremban, pada Rabu.

Sementara itu, Mazrin berkata, polis negeri sudah membuka lima kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sejak 30 April lalu sehingga semalam.

“Ia membabitkan laporan perbuatan khianat merosak dan menconteng papan tanda kempen, video pemimpin politik membuat tuduhan tidak berasas kepada parti politik lain serta kenyataan fitnah di laman sosial,” katanya.

Katanya, semua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 kanun sama, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.