PELAJAR MALAYSIA DI RUSIA SELAMAT

 

Tiada pelajar Malaysia menjadi mangsa dalam kejadian dua letupan yang berlaku di bandar raya kedua terbesar Rusia itu pada Selasa.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Rusia, Syed Saifuddin Syed Ahmad yang menjelaskan bahawa 21 pelajar Malaysia yang menuntut di State Marine Technical University of Saint, St Peterburg selamat.

“Kesemua mereka berada di asrama ketika letupan itu berlaku.

“Setakat ini, hanya pelajar yang sudah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia dan kesemua mereka adalah pelajar tajaan MARA,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa tiada warga Malaysia terbabit dalam insiden letupan yang berlaku pada jam 2.30 petang waktu tempatan.

Semalam, agensi berita Russia Today (RT) melaporkan bahawa letupan  pada Isnin itu membunuh 11 penumpang serta mencederakan berpuluh yang lain.

Kejadian itu menyebabkan seluruh sistem kereta api Metro ditutup bagi membolehkan skuad penyelamat dan pemusnah bom menjalankan operasi kecemasan.

Jawatankuasa Anti-keganasan Kebangsaan negara itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa letupan tersebut berlaku ketika kereta api berkenaan dalam perjalanan antara stesen metro Tekhnologichesky Institut dan Sennaya Ploshchad.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.