PELAJAR MAUT TERKENA BILAH PISAU TRAKTOR

 

Seorang pelajar perempuan maut manakala dua lagi pelajar lelaki cedera akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas di sini, pada Selasa ketika sedang melakukan aktiviti kawat.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak dan memaklumkan kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Nur Afini Roslan, 14, pelajar tingkatan dua.

“Nur Afini maut selepas kepalanya terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang sedang memesin rumput di padang sekolah itu.

Manakala dua yang cedera ialah Abdullah Hazlan, 14, pelajar tingkatan dua dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pelajar tingkatan satu.

“Abdullah cedera di bahagian telinga kanan, sementara Mohd Farhan Reza cedera di bahagian belakang kepala.

Mereka yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung punca kejadian.

Hamazah berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa berada di padang sekolah itu ketika pemandu traktor berkenaan sedang menjalankan kerja memesin rumput di padang sekolah itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.