PEMBANGKANG MUDAH LUPA – SHAHRIZAT

 

Pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan (PH) membuktikan gabungan itu bukan saja ketandusan pemimpin, malah sudah diserang penyakit pelupa.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata ia menjadi satu yang aneh apabila Mahathir dicalonkan untuk jawatan itu.

Beliau berkata, pembangkang bagaikan sudah lupa akan dosa Mahathir kerana sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, hampir setiap hari pemimpin pembangkang terutama mencaci dan menghina kepemimpinannya.

Malah, pembangkang mencanangkan bahawa Mahathir sebagai pemimpin yang memusnahkan sistem demokrasi, zalim, serta menindas rakyat.

“Dulu mereka kata Mahathir memusnahkan demokrasi serta menindas rakyat.

“Kini, pakatan pembangkang seolah-olah lupa dengan tuduhan, kebencian dan penghinaan mereka terhadap Dr Mahathir sehingga sanggup menamakan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahad lalu, konvensyen pakatan pembangkang antara lain mencapai resolusi untuk melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Datuk Seri Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Shahrizat berkata, jelas sekali pakatan pembangkang memanipulasi emosi dan fikiran rakyat hanya untuk memenangi PRU-14.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.