PEMBENTANGAN RUU355 BERJALAN DENGAN TERTIB

 

PAS menyifatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 semalam sebagai satu permulaan kepada usaha memartabatkan agenda Islam.

Pembentangan RUU355 oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilakukan dengan penuh tertib dan mendapat perhatian semua pihak.

Selain itu keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendapat pujian PAS yang begitu tegas dan tenang mengawal Parlimen.

Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan:

Tertibnya Perjalanan 355

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

1. Bagai mempelai yang diraikan penuh meriah, Pindaan Akta 355 ternyata dialu-alukan oleh banyak pihak meskipun masih terdapat sebahagian yang ragu dan curiga terhadap kehadirannya. Saya kira, mereka masih memerlukan masa untuk menjernihkan kefahaman dan pendirian mereka.

2. Jam 12.37 tengahari khamis kelmarin _(06 April 2017) Dewan Parlimen sepi seketika tatkala YB Dato’ Seri Tuan Guru memulakan pembentangan terhadap usul beliau bagi meminda Akta 355. Tuan Guru mengambil masa hampir setengah jam pembentangan.

3. Ringkas dan padat, itulah yang boleh saya sifatkan ucapan Tuan Guru. Merangkumi semua aspek. Memperkenalkan Akta 355, menjelaskan kewajaran memindanya, mempertegaskan hak orang Islam, memberi jaminan kedudukan non muslim, menyeru sokongan dari semua pihak disamping menitipkan peringatan agar ianya tidak ditentang secara melulu.

4. Kali pertama pada tanggal 26 Mei 2016, iaitu pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen ke 13, Tuan Guru telah mendapat peluang untuk membacakan usulnya bagi maksud meminda Akta 355 melalui Peraturan Urusan Mesyuarat 14(2), Menteri Hal Ehwal Parlimen YB Dato Azalina Othman mengusulkan agar Usul YB Marang diberi laluan dari kedudukan no 15 kepada no 5.

Setelah membacakan usul pindaan tersebut, Tuan Guru bercadang untuk menangguhkan perbahasannya bagi memberi peluang kepada ahli-ahli parlimen mengkaji dan menilai usul pindaan Akta 355 itu terlebih dahulu ekoran terdapat bantahan kononnya mereka tidak memahami perkara ini.

5. Kali kedua pada tanggal 24 Nov 2016, iaitu Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke 13, Tuan Guru sekali lagi diminta menyambung proses pembentangan usul Pindaan Akta 355. Kesempatan ini, Tuan Guru mengemukakan sedikit pindaan penting kepada usul asal beliau iaitu dengan menyebut jumlah hukuman yang dicadang. (100 kali sebatan, 100 ribu denda dan 30 tahun penjara)

Oleh kerana terdapat pindaan baru kepada usul asal, Tuan Guru sekali lagi bermaksud memberi lebih masa kepada semua pihak agar memahami rasional pindaan terbaru yang dilakukan maka beliau memilih untuk menangguhkan perbahasannya buat kali yang kedua setelah membuat sedikit huraian terhadap pindaan terbaru.

6. Kali ketiga peluang pembentangan usul Pindaan Akta 355 di Parlimen pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke 13 bersamaan 6 April 2017, telah dimanafaatkan sebaiknya apabila YB Tuan Guru membentangkannya dengan teliti, ringkas dan padat. Ucapan sokongan terhadap usul itu diperkemas pula oleh YB Kota Bharu yang mengambil masa sekitar sejam setengah dengan menjawab segala persoalan berkait.

Berbeza situasi kali ini, speaker Tan Sri Pandikar Amin pula yang mengambil langkah mengejutkan semua pihak dengan menangguhkan perbahasan ke persidangan akan datang sejurus tamat ucapan YB Dato Takiyudin yang sarat dengan hujjah dari aspek perundangan, sedang sahabat saya YB Dato’ Dr Khairudin at Takiri juga telah siap untuk mengambil giliran berikut bagi turut sama mengemukakan hujah dari sudut syariat pula.

7. Saya meneliti perjalanan Pindaan Akta 355 ini dengan cermat. Bermula dengan pelbagai cubaan untuk menggagalkannya, melengahkan perbahasan, mengganggu dewan, memperkecilkan speaker, saman ke mahkamah, pelbagai karenah dari tahun 2015 hinggalah ke detik speaker menangguhkan perbahasan kelmarin.

8. YB Tuan Guru mengatur langkah penuh tertib dan sabar. Melangkah setapak demi setapak, berhati-hati dan lambat, namun meyakinkan. Wajahnya mempamerkan sikap yang optimis dan semangat yang kental mendepani aneka cerca nista terhadap usaha beliau.

9. PAS yang berhempas pulas mengatur pelbagai langkah, perbincangan, roadshow, hardtalk, himpunan, mesyuarat, rundingan, solat hajat dan sebagainya untuk menjayakan pindaan Akta 355, tetapi apabila speaker menangguhkan perbahasan, mereka pula yang melenting marah kononnya mereka dihalang daripada berbahas dan menuding kononnya PAS ditipu. Sedang perbahasan hanya tertangguh ke sidang akan datang.

10. Andai diperhatikan secara cermat, beberapa aksi dan sikap mereka sebelum pembentangan usul pindaan Akta 355 itu, maka benarlah apa yang disebut oleh sahabat saya YB Ust Nik Mohd Abduh bahawa mereka sebenarnya bukan marah kerana perbahasan ditangguh, tetapi mereka marah kerana speaker memberi laluan kepada YB Marang membentangkan usul pindaan Akta 355 tersebut.
Inilah Penyelesaian Kita.

Sekian.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.