PENCIPTA NAMA PROTON MENINGGAL DUNIA

 

Rakyat Malaysia yang mencipta nama PROTON Saga yang merupakan keluaran kereta nasional pertama negara meninggal dunia akibat sakit tua.

Staf Sarjan (B) Ismail Jaafar, 71, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Nuri pada jam 3.10 petang semalam, selepas 51 hari terlantar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Kedah.

Ismail dikenali sebagai ‘Staf Sarjan PROTON’ ketika berkhidmat di Markas 2 Div di Pulau Pinang, selepas memenangi pertandingan mencipta nama kereta berkenaan.

Proton SAGA ialah model pertama syarikat PROTON, berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore dan dibangunkan di Shah Alam pada 1985.

Memetik laporan BH Online, anaknya, Mohd Sarisffuddin, 48, berkata bapanya dimasukan ke HSAH selepas pulang mengerjakan ibadat haji pada November tahun lalu, akibat sakit jantung serta asma dan dibenarkan pulang Khamis lalu.

Bagaimanapun, pagi semalam keadaan bapanya menjadi tenat dan meninggal dunia di sisi isteri, Sariah Abdul Rahman, 69 dan anak-anak.

Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Amanjaya pada malam tadi.

Sementara itu, Sarisffuddin berkata arwah pernah menyatakan hasrat untuk mencari semula kereta Proton SAGA yang diterima sebagai hadiah pada 1985.

“Kereta itu dijual kerana ketika itu arwah memerlukan wang untuk dua adik yang mahu melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.