PENGASAS PPBM KELUAR PARTI

 

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus menerima tamparan hebat apabila Bekas Setiausaha Kerjanya, Kamarul Azman Habibur Rahman, mengumumkan keluar parti bersama 821 ahli parti serpihan UMNO itu hari ini.

Beliau yang juga antara tujuh pengasas parti serta Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) belum memutuskan parti bakal disertainya nanti.

Katanya, keputusan keluar parti dibuat kerana melihat PPBM tiada hala tuju untuk membela rakyat dan memartabatkan negara, melainkan agenda peribadi pemimpin tertentu.

Keputusan itu juga dibuat bukan kerana tidak lagi memiliki jawatan dalam parti itu.

Jelasnya, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, tiada agenda lain kecuali menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kami percaya PPBM tidak mampu memenangi Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU-14) kerana parti tiada kekuatan menandingi BN (Barisan Nasional) dan parti pembangkang lain,” katanya pada sidang media di KUALA LUMPUR pada Rabu. i

Kamarul Azman turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Penaja PPBM Teluk Kemang dan menolak tawaran pelantikan sebagai Ketua Perhubungan PPBM Negeri Sembilan.

Sebelum penubuhan PPBM, Kamarulazman yang mengetuai GKCM giat ‘hentam’ kepimpinan UMNO diterajui presiden parti terbesar umat Melayu itu, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya keluar bukan kerana saya tidak ada jawatan, malah saya adalah ahli yang paling banyak banyak memegang jawatan dalam parti. Tetapi PPBM itu sendiri pun masih kabur dalam perjuangan politik untuk negara kita.

“Ada masalah yang tidak ditangani dengan baik terutama adanya pemimpin dalam parti ini merasakan sudah lama dalam politik dan mengenepikan pula pandangan ahli-ahli biasa yang lain dalam parti,” tegas Kamarulazman.

Beliau namun tidak berhasrat untuk menyertai UMNO kembali dan akan aktif memberi fokus kepada perjuangan GKCM. Pada 4 April lalu, gabungan itu menetapkan pendirian untuk tidak lagi menyokong kepimpinan pusat parti.

“Dan akhir sekali saya undur diri daripada menjadi ahli PPBM,” kata Kamarulazman. Beliau menjangka seramai 821 ahli PPBM di seluruh negara juga mengikut jejak langkahnya dan satu sidang akhbar akan diadakan tidak lama lagi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.