PENGGANTI CHONG WEI LAGI TIGA TAHUN – KHAIRY

 

Jaguh baharu yang bakal menggantikan Datuk Lee Chong Wei bagi meneruskan legasi skuad badminton negara berupaya dilahirkan dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata arena badminton berbeza dengan sukan bola sepak yang memerlukan 10 tahun untuk menghasilkan generasi pemain pelapis.

Sehubungan itu, katanya, proses menggilap bakat daripada pemain pelapis skuad badminton negara menerusi komitmen barisan jurulatih diyakini bakal melahirkan ‘Chong Wei Junior’ dalam tempoh terdekat.

“Badminton ini ada beberapa pemain yang mempunyai potensi, tetapi kita tidak perlu tunggu sampai 10 tahun.

“Saya yakin dalam tempoh kira-kira tiga tahun, ada beberapa pemain yang berada di lapisan kedua berupaya menggantikan Chong Wei,” katanya ketika ditemui media di Parlimen, pada Isnin.

Beliau mengulas kemenangan Chong Wei selepas meraih gelaran kedua Siri Super musim ini dengan menundukkan pemain China, Chen Long 21-14, 21-19 pada final perseorangan lelaki Terbuka Hong Kong di Kowloon, semalam.

Pada separuh akhir kelmarin, jaguh negara itu menewaskan seorang lagi pemain China, Shi Yuqi dalam saingan kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.

Chong Wei menjuarai Terbuka Hong Kong empat kali iaitu pada 2009, 2010, 2013 dan 2015.

Khairy yang gembira dan bangga dengan kemenangan jaguh badminton negara itu, menyifatkan detik kegemilangan Chong Wei di Hong Kong sebagai penyuntik semangat baharu selepas mencatatkan beberapa kekalahan dalam siri kejuaraan antarabangsa sebelum ini.

“Kemenangan di Hong Kong ini satu kejayaan yang bagi saya membuktikan beliau (Chong Wei) masih boleh menang di peringkat tertinggi.

“Waktu ini, kita masih bergantung kepada Chong Wei, tetapi saya rasa ada potensi dalam kalangan pemain lain kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang melatih pemain perseorangan untuk menggantikan beliau.

“Cuma, proses ini akan akan ambil sedikit masa,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.