PENGUATKUASA MPK DAN PENIAGA BERTUMBUK

 

Klip video memaparkan pergaduhan antara anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama peniaga di Jalan Taiping mula tersebar di media sosial, sejak semalam.

Klip video berdurasi selama 0:46 saat itu menyaksikan suasana tegang antara anggota MPK bersama peniaga berkenaan sehingga berlakunya pergaduhan serta aksi berbalas tumbukan antara satu sama lain.

Difahamkan, punca kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila penguatkuasa MPK terlibat dikatakan telah menegur peniaga terbabit yang beroperasi tanpa lesen di kawasan berkenaan.

Peniaga terbabit juga dipercayai menumpang lesen pihak lain dan keadaan itu menyebabkan penguatkuasa MPK terlibat berkeras untuk mengambil tindakan sehingga mencetuskan perang mulut serta aksi berbalas tumbukan terbabit.

Sementara itu, polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan antara peniaga dan penguatkuasa MPK yang tular di laman sosial sejak semalam.

Kejadian pergaduhan itu berlaku kira-kira pukul 9.40 malam semalam di Bazar Aidilfitri Jalan Taiping, Bandar Baru Klang di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, kedua-dua lelaki berusia 18 dan 41 tahun itu ditahan di sekitar perkarangan Balai Polis Sungai Kapar Indah kira-kira pukul 5 pagi semalam ketika diminta hadir memberi keterangan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan pengadu yang juga seorang pegawai penguat kuasa MPK, kejadian pergaduhan itu berlaku ketika dia bersama pasukannya menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bazar tersebut.

“Ketika pengadu memperkenalkan diri kepada pemilik gerai minuman dan meminta dia menunjukkan lesen perniagaan, suspek gagal mengemukakan lesen seperti yang diminta pengadu.

“Semasa pengadu bersama pasukannnya ingin menyita balang minuman, suspek cuba menghalang. Berlaku pertengkaran mulut antara kedua pihak sebelum berlaku pergaduhan,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.

Mazelan berkata, akibat pergaduhan itu, seorang anggota penguatkuasa MPK mengalami kecederaan di muka.

“Siasatan awal pihak kita mendapati gerai suspek pernah diambil tindakan sitaan pada Ahad lalu.

“Pihak MPK juga pernah memberi amaran sebelum ini, namun suspek masih menjalankan perniagaan tanpa lesen,” ujarnya.

Jelas Mazelan, kedua-dua lelaki tersebut direman sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam.

 

Wartawan Watan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.