PENIAGA KOSMETIK MAUT DITETAK

 

Seorang peniaga barangan kosmetik maut selepas ditetak empat lelaki dipercayai warga asing di tapak pasar malam Seksyen 25 di Shah Alam, Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian pada kira-kira 9 malam itu, mangsa Mohd Nor Syazrin Rasdi, 29, mati di tempat kejadian akibat kecederaan di leher.

“Mangsa merupakan peniaga barangan kosmetik, semasa beliau bersama tiga lagi pekerjanya sedang berniaga datang empat lelaki dipercayai warga Indonesia menyerang mangsa dengan pisau, mangsa yang cedera di leher mati di tempat kejadian, penyerang kemudian melarikan diri.

“Seorang pekerja mangsa yang cuba membantu mangsa turut mendapat kecederaan di kepala dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Katanya polis sedang memburu empat individu terbabit berhubung kes itu.

Shafien berkata polis turut menahan dua pekerja mangsa iaitu seorang lelaki warga Indonesia dan seorang wanita tempatan untuk membantu siasatan.

“Motif kejadian sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.