PERMOHONAN NAJIB BATAL SAMAN EZAM NOVEMBER DEPAN

 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Isnin menetapkan 22 November depan bagi mendengar permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Tun Razak bagi membatalkan saman AS$3.66 bilion oleh Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Ezam memfailkan saman pada April lalu yang mendakwa Najib, sembilan bekas pengarah 1MDB dan kerajaan kerana sengaja menyebabkan ‘kerugian salah’ sebanyak AS$3.66 bilion.

Bekas Senator itu memfailkan saman mewakili semua rakyat Malaysia.

Terdahulu Najib yang juga Menteri Kewangan dilapor memfailkan permohonan itu pada Julai lalu, sementara 1MDB dan lembaga pengarahnya yang dinamakan dalam saman itu, memfailkan permohonan mereka bulan Ogos.

Individu lain dinamakan sebagai defendan termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy, serta dua pengarah dan sembilan bekas pengarah 1MDB.

Saman AS$3.66 bilion yang difailkan Ezam termasuk menuntut AS$1.03 bilion yang dipindahkan ke Good Star Ltd dan digunakan untuk usaha sama dengan Petro Saudi International Ltd, AS$1.367 bilion yang dibayar kepada Aabar BVI dan AS$1.26 bilion yang dibayar kepada Tanore Finance Corporation.

Selain saman ini, Perdana Menteri juga berhadapan saman bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang berkaitan dengan 1MDB.

Sebelum ini, Najib berjaya membatalkan saman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anina Saadudin dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang kini sedang menunggu rayuan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.